19 Oktober 2012 - 22:07

Dua orang terkorban dalam serangan pengganas. Jemaah ulama Ahlusunnah Zahedan turut mengutuk serangan tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Kumpulan pengganas yang menggelarkan diri mereka "Gerakan Anshar Iran" telah menyebarkan gambar pengebom bunuh diri dalam serangan kelmarin. Menurut dakwaan mereka, operasi bunuh diri ini dipanggil Ra'ad 1 yang kononnya disasarkan pada pondok polis Chabahar, wilayah Sistan-Baluchistan, Tenggara Iran, bersempadan dengan Pakistan.


Pengebom yang berpakaian tentera ini cuba memasuki surau sebelum melarikan diri apabila disedari oleh pasukan sukarela dan polis. Dia kemudiannya meletupkan diri bertentangan dengan farmasi Sayyidul Shuhada Sharestan, jalan Ta'avon, 300 meter dari surau.

Namun menurut laporan berita ini, sasaran serangan sebenarnya ditujukan pada pintu masuk masjid Imam Husain (a.s), Chabahar. Apabila pihak polis menyedari kehadiran pengganas, pengebom melarikan diri ke lorong disamping masjid dan meletupkan dirinya. 

Salah seorang korban yang merupakan guru sekolah menengah bernama Murtadha Asude adalah bermazhab Syiah manakala seorang korban lagi bernama Hamid Bazi yang juga mahasiswa jurusan komputer, bermazhab Ahlusunnah. Tiga orang kanak-kanak dilaporkan cedera.


Sementara itu jemaah ulama Ahlusunnah Zahedan mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengecam keras serangan pengganas tersebut sambil menyeru perpaduan dan persaudaraan.

Menurut kenyataan tersebut serangan itu menunjukkan kuasa angkuh dunia merasa gerun dengan solat dan ibadah di masjid. Sambil mengutuk, jemaah ulama Ahlusunnah Zahedan turut meminta agar pelakunya segera ditangkap dan dibicarakan segera disamping membayar gantirugi jenayahnya. Selain itu, mereka turut menuntut agar perpaduan umat dijaga demi menggagalkan propaganda musuh. Kenyataan yang disiarkan di laman web Sunnionline ini juga berharap agar kejadian ini dapat mencipta perpaduan darah Sunni dan Syiah.